pesta regatta lepa 2010

Pesta Regatta Lepa 2010 Adakan Kelainan
Oleh Nashir Mansor

SEMPORNA, 21 Jan (Bernama) -- Pesta Regatta Lepa 2010, satu daripada acara pelancongan tahunan di Semporna, dijangka lebih meriah tahun ini dengan jumlah pengunjung dijangka antara 50,000 hingga 60,000 orang.

Pengerusi Jawatakuasa Induk pesta berkenaan A.M Ibnu A.K Baba berkata selain acara lazim, pihak penganjur akan memperkenal beberapa kelainan sepanjang pesta yang tercatat dalam kalendar Pelancongan Malaysia itu.
"Tahun ini Regatta Lepa akan diadakan pada 24 dan 25 April. Jika tahun-tahun sebelumnya acara kemuncaknya ialah pada pembukaan rasmi tetapi kali ini kemuncaknya ialah ketika majlis penutupan.
"Pada hari pertama, kami cuma akan buat pembukaan ringkas bagi membolehkan acara lazim seperti pertandingan lepa cantik, sukan laut serta pembukaan ruang pameran diadakan untuk pengunjung," kata A.M Ibnu kepada Bernama.
Katanya acara kemuncak Pesta Regatta Lepa yang dijangka turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, akan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah.

ADA KELAINAN

A.M Ibnu yang juga Pegawai Daerah Semporna berkata antara kelainan Pesta Regatta Lepa tahun ini ialah perasmian kemudahan asas pelancongan untuk pelancong dan pelancaran beberapa produk pelancongan baru di Semporna. Kemudahan pelancongan itu ialah Jeti Pelancong dan Pusat Maklumat Semporna yang kini 80 peratus siap.

Katanya jeti di kawasan seluas 0.4 hektar di Kampung Bangau-Bangau berkenaan, kira-kira 0.5 kilometer dari bandar Semporna, akan menempatkan pejabat agensi kerajaan berkaitan pelancongan seperti Taman-Taman Sabah, Jabatan Laut dan Marin.

"Semua operator pelancongan di Semporna akan ditempatkan di situ. Jeti berkenaan menyediakan tempat letak kereta yang luas, tandas bersih, restoran dan kantin untuk kemudahan pelancong.

"Pelancong yang ingin ke pulau-pulau peranginan boleh berehat di jeti berkenaan sebelum bertolak ke destinasi masing-masing," katanya.

PAMERAN

A.M Ibnu berkata produk pelancongan baru bagi pelancong yang datang ke Semporna juga akan diperkenal dan dipamerkan sempena pesta berkenaan termasuk produk peluang pelancong belayar menggunakan perahu Lepa dan Sapit.

Katanya produk berkenaan bertujuan memberi pengalaman dan peluang kepada pelancong asing yang datang ke Semporna untuk menghayati cara hidup penduduk Bajau Semporna pada zaman dahulu.

Beliau berkata selama ini, pelancong cuma berpeluang menyaksikan perahu Lepa dan Sapit itu ketika diperagakan namun kali ini mereka berpeluang menaiki dan belayar di atas perahu berkenaan.

Selepas pesta itu nanti, perahu Lepa dan Sapit akan diletakkan di Jeti Pelancong. Perahu Lepa itu, berukuran 10 meter, boleh digunakan pelancong untuk belayar di kawasan perairan Tandu Bolong manakala perahu Sapit pula 18-20 meter, ialah untuk pelayaran ke kawasan Taman Laut Tun Sakaran.

Kedua-duanya ialah perahu tradisi masyarakat Bajau Semporna.

MONYET BELANDA

"Pada pesta itu juga, akan dirasmikan satu lagi produk pelancongan iaitu Borneo Semporna Brobocsis Monkey River Cruise yang terletak di Tanggulangan, 15 kilometer dari bandar Semporna," katanya.

Menurut A.M Ibnu, melaluinya pelancong akan dibawa belayar menyusur Sungai Pegagau selama setengah jam sambil menyaksikan monyet Belanda liar dan tumbuhan hutan bakau di kiri kanan sungai berkenaan.

Pelancong yang berminat menyaksikan keluang (sejenis kelawar bersaiz besar) pula, boleh di bawa ke Pulau Mata Pahi, kira-kira setengah jam menaiki bot, untuk menyaksikan keunikan haiwan berkenaan.

"Semua bahagian pulau seluas 4.1 hektar ini didiami oleh keluang. Jumlahnya dianggarkan antara 30,000 hingga 50,000 ekor. Haiwan yang tinggal dalam hutan bakau ini boleh disaksikan pengunjung antara jam 5.30 petang hingga pukul 6.30 petang.

"Saya berani kata mungkin inilah satu-satunya produk pelancongan jenis ini yang ada di Malaysia," katanya.

A.M Ibnu juga berkata selain keluang, pulau berkenaan juga dihuni oleh banyak kunang-kunang yang berpotensi menarik pelancong.

Katanya usaha sedang dilakukan untuk membina kemudahan di pulau itu bagi kemudahan pelancong dan sedang berusaha menggazetkan pulau berkenaan sebagai kawasan perlindunan hidupan liar.

"Kita berharap masyarakat Semporna mengambil kesempatan ini sebaik-baiknya untuk berkecimpung secara aktif dalam sektor pelancongan di Semporna yang terkenal sebagai daerah pelancongan di Sabah," katanya.

-- BERNAMA


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RATU LEPA 2019 EMERAAZWA EMERALDI