‘IGAL’ (KMT @Aktivis Budaya Semporna)




TRADISI BAJAU PANTAI TIMUR SABAH DAERAH SEMPORNA. 

 

NAMA-NAMA GERAK DIDALAM PERSEMBAHAN IGAL  

Oleh :  KHALID M. TAIB 




 

‘ IGAL’ adalah perkataan didalam Bahasa Bajau Semporna yang bermaksud ‘Tari’, dan ‘Angigal‘ adalah katakerja dalam bentuk perlakuan iaitu ‘Menari’. Igal merupakan salah satu simbolisma identiti Masyarakat Bajau di kawasan pantai Timur negeri Sabah, khususnya di daerah Semporna. Tarian ini pada awalnya ditarikan dalam bentuk sakral dan sosial dan masih diamalkan hingga kehari ini.  

 

Ada segelintir pendapat yang mengatakan bahawa Igal itu berasal dari perkataan Bahasa Inggeris ‘Eagle’, dan perkara ini adalah tidak benar sama sekali, ia hanyalah satu kebetulan dimana bunyi perkataan itu hampir sama.

 

Igal adalah seni persembahan Tari yang menjadi amalan turun-temurun dan merupakan identiti Budaya Rumpun Bangsa Bajau. Didalam Igal terdapat pelbagai gerak yang diilhamkan melalui Alam semulajadi seperti Angin, Ombak, Awan, Tumbuhan Laut dan Hutan, serta beberapa pergerakan haiwan seperti Burung dan Ular. Kesemua elemen pergerakan ini diterjemah melalui komponen tubuh badan, iaitu melalui ekspresi Muka, Mata, Kepala, Lengan, dan Kaki. Didalam satu persembahan Igal, rantaian gerak ini akan sentiasa mengalir dan menzahirkan rasa.  

 

Jenis-Jenis Igal 

 

Terdapat Empat jenis Igal Titik Tradisi yang lazim dipersembahkan oleh masyarakat Bajau didalam majlis-majlis rasmi ,majlis perkahwinan, dan majlis keramaian iaitu:-  

 

1.      Igal Titik Tabawan Igal Titik Lubak-Lubak,  

2.      Igal Titiik Lellang  

3.      Igal Titik Limbayan  

4.      Igal Titik Tarirai. (Igal Titik Tarirai lazimnya menggunakan ‘Bolak’-Bolak’) 

 

‘BOLAK-BOLAK’ 




 

‘Bolak-Bolak’ adalah sejenis alat bunyi yang menggunakan tangan, ia diperbuat daripada kepingan kayu keras,atau Bambu. Suatu ketika dahulu wanita masyarakat Bajau menggunakan Kulit Kerang. 

  ‘Bolak’-Bolak’ juga boleh digunakan untuk semua jenis persembahan Igal. 

 


 

‘TITIK’ 

 

‘Titik’ adalah perkataan dalam bahasa Bajau yang bermaksud ‘Rentak’. Setiap Igal, dinamakan mengikut jenis ‘Titik’ atau Rentaknya, sebagai contoh:- sekiranya Titik atau rentak yang dimainkan itu adalah Titik Limbayan. Maka Igal itu dinamakan sebagai ‘Igal Titik Limbayan’, dan bukannya Igal Limbayan. Demikian halnya dengan Igal Titik-titik yang lain, kesemua nama dan jenis Igal adalah bergantung kepada ‘Titik’. 

 

GERAK-GERAK DIDALAM PERSEMBAHAN

 IGAL  

 

Didalam himpunan gerak Igal Tradisi, terdapat beberapa gerak yang khusus dilakukan oleh lelaki sahaja, semantara itu gerak-gerak yang dilakukan oleh perempuan pula, terdapat hukum atau adab-adab tertentu, sebagai contoh, 

untuk gerak mengangkat lengan bagi perempuan larasnya hanya pada paras 45 darjah, 

dan untuk gerak mengangkat kaki hanya pada paras 25 darjah. 

 

Seperti yang telah disebutkan bahawa persembahan Igal adalah melibatkan komponen Tubuh badan, iaitu, Kepala, Lengan, Badan dan Kaki. Untuk mudah difahami, susunatur nama-nama gerak didalam Igal adalah seperti berikut :-  

 

1. NAMA –NAMA GERAK DI BAHAGIAN LENGAN.  

( Pergerakan untuk Lelaki dan Perempuan ) 

 

1.   A ngalimbai                  :        - Meilimbai-limbaikan tangan. 

2.   Sinayangan                  :        - Lengan dilambung perlahan keatas  

3.   Pabettad                      :        - Lengan dibentang menelangkup 

4.   Pahettad                      :        - Lengan dibentang,dengan permukaan keatas 

5.   A’ ngolles                    :        - Meliukkan Pergelangan tangan 

6.   Sinulavai                      :        - Dua belah Tangan digerakkan secara berselisih. 

7.   Siku Palantik                :        - Bahagian siku dilentikkan sambil ditolak perlahan    keatas. 

 

8.   Tangan Palantik          :        - Permukaan Tapak Tangan ditolak kehadapan dan  

  Jari-jari dilentikkan. 

9.   Tinaut Taut                            :        - Kedua bahagian Lengan dihayun perlahan dan  

  Lembut. 

 

( Gerak bahagian Lengan yang hanya dilakukan

 oleh lelaki sahaja) 

 

1.   A’ngalagpak                 :        - Tangan di Tepuk. (Gerak didalam Igal yang                                         terdapat Elemen Kuntaw) 

 

2.   A’ngalasti                     :        - Bahagian belakang tangan ditepuk. (Gerak  

  didalam Igal yang terdapat Elemen Kuntaw) 

3.   Sinayangan                  :        - Menghayunkan Senjata keatas seperti Gayang    atau Tombak. (Gerak didalam persembahan  

                                                                        Sayaw)       

4.   A’ngansom                   :        - Mengacah atau Mengertak. (Gerak didalam    persembahan Sayaw)  

 

2. NAMA-NAMA GERAK DI BAHAGIAN KAKI. 

          

1.   A meka’                        :        - Melangkah, setiap langkan dimulakan dengan  

  hujung kaki menyentuh lantai dengan lembut 

2.   Pahenggel                   :        - Mengangkat kedua Tumit kaki 

3.   A ngangginsil               :        - Pergerakan secara bergeser kekiri dan kekanan    menggunakan kedua Tapak Kaki  

4.   A ngengket Tape’                  :        - Mengangkat sebelah kaki. 

5.   A ngengsod                  :        - Pergerakan bergeser dengan  sebelah kaki, 

  sementara sebelah kaki sebagai penentu hala. 

6.   Ni Lengngan–lengnganan :   - Pergerakan berjalan perlahan-lahan.  

7.   A ngagis                        :       - Bahagian hujung jari kaki digeserkan kelantai. 

8.   Sintak Tape’                 :        - Mengangkat Sebelah Kaki secara mengejut. 

 

 (Gerak kaki yang hanya dilakukan oleh lelaki sahaja) 

 

1.   Maglaksu – laksu                  :        - Melompat- lompat 

2.   Tendek                         :        - Menghentak-hentakkan kaki  

3.   Erek- Erek                             :        - Kaki diketar-ketarkan  

4.   A ngakkai                    :        - Sebelah Tapak kaki dikuiskan kelantai 

 

3. NAMA-NAMA GERAK DI BAHAGIAN TUBUH. 

 

1. A’ nekang                          :        - Bersiap Sedia 

2. Pareo’- reo’.                       :        - Tubuh direndahkan sedikit 

3. Paengket                           :        - Terangkat / Tubuh dinaikkan sedikit keatas 

 

4. Pagiling                    :        - Memusingkan tubuh tanpa mengangkat kaki 

5. Pabulivud                           :        - Pergerakan Berpusing  

6. Pattaddung                        :        - Membelakang 

7. Lemma’ Baran                   :        - Badan digerakkan dengan lembut.         

8. Kijjut Baha                         :        - Menggerakkan kedua Bahu 

       

4. NAMA-NAMA GERAK DI BAHAGIAN KEPALA / MUKA. 

( Gerak bahagian Kepala dan Muka ini yang 

hanya dilakukan oleh lelaki sahaja ) 

 

     1..Pahangad-hangad                             :     - Mengangkat Muka. 

2. Pahanduk-handuk             :        - Kepala diangguk-anggukkan. 

3. A’ngiddat                           :        - Mengangkat Kening. 

 

SEMOGA BERMANFAAT 

SEKIAN, SALAM BOG-BOG, MAGSUKUL 

 

KHALID M. TAIB 

Aktivis Budaya Semporna. 


RUJUKAN





 



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

IMBASAN SEJARAH PULAU OMADAL

Seni Ukiran Kayu