REGATTA LEPA 2015
Semporna: Sambutan Regatta Lepa yang disambut gilang gemilang dan dihadiri pelancong dari luar serta dalam negara membuktikan keselamatan di kawasan pantai timur terutamanya di Lahad Datu, Kunak dan Semporna semakin terkawal serta selamat dikunjungi.
Menteri Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penyertaan masyarakat luar daerah termasuk dari luar negara menunjukkan berlaku peningkatan jumlah pelancong yang tiba meraikan perayaan ini.
“Perayaan Regatta Lepa kali ke-22 disambut penuh budaya dan berjaya kerana penyertaan bukan sahaja datang dari luar daerah malahan dari luar negara meningkat.
“Perayaan ini besar ertinya bagi kita sebagai rakyat Malaysia ke arah penyatuan rakyat yang datang dari berbagai kaum dan budaya supaya kita saling kenal mengenali bagi mengukuhkan lagi ekonomi dari segi pelancongan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri acara akhir sukan laut dan perarakan lepa cantik di Dataran Regatta Lepa, dekat sini, semalam.
Hadir sama bagi menyempurnakan majlis Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Pengerusi Media Prima Bhd, Tan Sri Johan Jaaffar.
Menurut Mohd Shafie, menerusi perayaan Regatta Lepa ini juga dapat membuktikan kawasan pantai timur sentiasa dalam keadaan terkawal walaupun berlaku beberapa insiden membabitkan isu keselamatan sebelum ini.
“Sehubungan itu, kami berterima kasih kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang bertungkus-lumus setiap hari siang dan malam untuk memastikan keselamatan sentiasa terkawal,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shafie turut berkata, menerusi perayaan itu juga ada pelbagai perkara perlu dipertingkatkan dan ditambah baik dengan kerjasama daripada pelbagai agensi lain untuk menjayakan pesta itu di tahun akan datang.
“Kami sedar ada beberapa perkara perlu ditambah baik bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga produk pelancongan termasuk inap desa sebagai produk pelancongan yang perlu dipertingkatkan lagi.
“Malah, lokasi dataran perayaan ini juga dilihat sempit walaupun penyertaan yang ada setakat ini hampir 400 lepa sehingga menyebabkan kami tidak dapat meningkatkan penyertaan lagi daripada pihak lain,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan